ℹ️ Skipped - page is already crawled
| Filter | Status | Condition | Details |
|---|---|---|---|
| HTTP status | PASS | download_http_code = 200 | HTTP 200 |
| Age cutoff | PASS | download_stamp > now() - 6 MONTH | 0.1 months ago |
| History drop | PASS | isNull(history_drop_reason) | No drop reason |
| Spam/ban | PASS | fh_dont_index != 1 AND ml_spam_score = 0 | ml_spam_score=0 |
| Canonical | PASS | meta_canonical IS NULL OR = '' OR = src_unparsed | Not set |
| Property | Value |
|---|---|
| URL | https://suara.tv/03/06/2021/mendaki-bukit-batu-kumbang/ |
| Last Crawled | 2026-04-16 12:48:10 (1 day ago) |
| First Indexed | 2021-06-03 06:32:36 (4 years ago) |
| HTTP Status Code | 200 |
| Meta Title | Mendaki Bukit Batu Kumbang |
| Meta Description | Pada 27 Mac lalu, kumpulan Siput Trackerzs Adventure Club yang diasaskan penulis menganjurkan satu ekspedisi pendakian santai ke Bukit Batu Kumbang, Selangor. Dalam ekspedisi santai ini, seramai 30 peserta termasuk lima kru mengambil bahagian. Ekspedisi diketuai penunjuk arah/malim gunung, Asri Ahmad dengan bantuan 'sweeper', Muhammad Syamil dan dua pembantu penunjuk arah iaitu Muhammad Nur Azhani |
| Meta Canonical | null |
| Boilerpipe Text | Pada 27 Mac lalu, kumpulan Siput Trackerzs Adventure Club yang diasaskan penulis menganjurkan satu ekspedisi pendakian santai ke Bukit Batu Kumbang, Selangor.
Dalam ekspedisi santai ini, seramai 30 peserta termasuk lima kru mengambil bahagian.
Ekspedisi diketuai penunjuk arah/malim gunung, Asri Ahmad dengan bantuan ‘sweeper’, Muhammad Syamil dan dua pembantu penunjuk arah iaitu Muhammad Nur Azhani dan Muna Mohd.
Penulis sendiri yang sering bersama ‘sweeper’ membantu memantau peserta di barisan belakang dan ‘menutup pagar.’
Istilah menutup pagar merujuk kepada memastikan ‘sweeper’ adalah orang terakhir dan tiada peserta ditinggalkan di belakang.
Bukit Batu Kumbang yang terletak di Hutan Simpan Hulu Langat memiliki ketinggian 675 meter juga boleh didaki dari Sungai Congkak, Hulu Langat.
Biarpun berstatus bukit, ia agak mencabar fizikal dan mental kepada pendaki baharu kerana jarak keseluruhannya dari parkir ke puncak adalah 10 kilometer (km) yang mengambil masa tiga hingga lima jam bergantung kepada pergerakan peserta.
Memandangkan penulis pernah mendaki dari Hulu Langat, untuk ekspedisi kali ini kami memilih untuk naik dari sebelah Kemensah.
PESERTA memulakan perjalanan.
Perlu diingat, sebelum mendaki bukit ini, anda perlu mendapatkan kebenaran atau permit pendakian dari Pejabat Hutan Selangor Tengah Cheras yang boleh dimohon dua minggu lebih awal.
Pendakian bermula dari parkir kereta di Kombat Zone Paintball, Kemensah jam 8 pagi selepas taklimat pendakian, senaman ringan dan bacaan doa.
Di awal pendakian, peserta perlu melalui jalan tar dan terus memasuki jalan kenderaan serba rupa bumi (ATV) sejauh empat km sebelum memasuki trek hutan.
Trek yang dilalui kenderaan ATV memang tidak rata dan tidak terlalu curam, tapi tetap terasa ‘pacak-pacak’ manjanya.
Selepas memasuki trek hutan, kami menuju Air Terjun Batu Hampar dengan melalui sebatang pokok tumbang. Di sini peserta perlu berhati-hati untuk melepasi batang dan dahan pokok yang tumbang merintangi trek.
SEMPAT menyejukkan badan di Air Terjun Neelofa.
Dari Air Terjun Batu Hampar, bermulalah cabaran trek memacak. Mujur ada tempat dipasang tali yang sangat membantu dalam pendakian namun penunjuk arah dan kru tetap memastikan peserta sentiasa dalam keadaan selamat.
Trek seterusnya walaupun tidak ‘sepacak’ trek dari Batu Hampar, tapi menaik sehingga sampai ke puncak Bukit Batu Kumbang sejauh tiga km.
Peserta pertama tiba di puncak Batu Kumbang jam 1 tengah hari sebelum disusuli peserta lain.
Oleh kerana puncak Bukit Batu Kumbang agak sempit dan berbatu, peserta perlu bergilir-gilir untuk naik ke puncak.
TREK ATV yang perlu dilalui peserta.
Pemandangan di puncak Bukit Batu Kumbang adalah bergantung kepada cuaca. Sekiranya cuaca baik anda berpeluang melihat puncak Bukit Chenuang di Hulu Langat.
Untuk kali ini, kami dihidangkan pemandangan yang sangat cantik di puncak Bukit Batu Kumbang.
Peserta tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan dengan bergambar selepas mengharungi cabaran mendaki untuk sampai ke sini.
Kebiasaannya, pendaki akan melakukan pendakian ke dua puncak iaitu Bukit Batu Kumbang dan Bukit Chenuang (sejam ke sejam setengah pendakian dari Batu Kumbang), namun untuk kali ini penganjur terus turun ke air terjun di Kemensah.
Daripada 30 peserta, 26 pergi ke Air Terjun Maya Karin dan Air Terjun Neelofa manakala penulis bersama ‘sweeper’ menemani dua peserta yang mengalami keletihan dan kejang kaki.
Dalam perjalanan pulang, kami diuji dengan hujan lebat menyebabkan air mengalir di trek ATV. Kami perlu berhati-hati untuk elak terjatuh.
Pada masa sama, kami perlu melompat ke bahu trek untuk memberi laluan kepada ATV yang turut melalui laluan itu.
Semua peserta berjaya keluar dan tiba di parkir jam 5.30 petang tanpa sebarang kecederaan atau insiden buruk.
PEMANDANGAN indah di Air Terjun Maya Karin.
Harian Metro |
| Markdown | 
[Facebook](https://www.facebook.com/SuaraTV "Facebook") [Instagram](https://instagram.com/suaratv_?igshid=YmMyMTA2M2Y= "Instagram") [Telegram](https://t.me/joinchat/AAAAAFldy3g5NmxiF_zIOA "Telegram") [Twitter](https://twitter.com/SuaradotTV "Twitter") [Youtube](https://www.youtube.com/channel/UCmGioNuLj3-Aa8GeFXh6DEg "Youtube")
- [UTAMA](https://suara.tv/category/topstory/)
- [NASIONAL](https://suara.tv/category/news/)
- [POLITIK](https://suara.tv/category/news/politik/)
- [BERITA](https://suara.tv/category/news/berita/)
- [EKSKLUSIF](https://suara.tv/category/news/special/)
- [JENAYAH](https://suara.tv/category/news/crime/)
- [EKONOMI](https://suara.tv/category/bisnes/)
- [PKS \| SME](https://suara.tv/category/bisnes/pks/)
- [BISNES](https://suara.tv/category/bisnes/bisnes-world/)
- [KEWANGAN](https://suara.tv/category/bisnes/money/)
- [PERSPEKTIF](https://suara.tv/category/opinion/)
- [CITRA RAKYAT](https://suara.tv/category/opinion/abjalilbacker/)
- [AS I SEE IT](https://suara.tv/category/opinion/english-collum/)
- [PENULIS TAMU](https://suara.tv/category/opinion/penulis/)
- [GAYA HIDUP](https://suara.tv/category/lifestyle/)
- [SASTERA & BUDAYA](https://suara.tv/category/lifestyle/sastera/)
- [HIBURAN](https://suara.tv/category/lifestyle/artist/)
- [KULINARI](https://suara.tv/category/lifestyle/food/)
- [KEMBARA](https://suara.tv/category/lifestyle/travel/)
- [TEKNOLOGI](https://suara.tv/category/lifestyle/teknologi/)
- [SEPUTAR DUNIA](https://suara.tv/category/world/)
- [YANG ANEH-ANEH](https://suara.tv/category/world/aneh/)
- [SUKAN](https://suara.tv/category/sports/)
- [EPL](https://suara.tv/category/sports/epl/)
- [LIGA MALAYSIA](https://suara.tv/category/sports/liga/)
- [Video](https://suara.tv/category/video/)
- [YouTube](https://suara.tv/25/05/2018/youtube-video/)
[Suara.TV](https://suara.tv/)
[](https://suara.tv/)

More
[Home](https://suara.tv/)[GAYA HIDUP](https://suara.tv/category/lifestyle/ "View all posts in GAYA HIDUP")
[GAYA HIDUP](https://suara.tv/category/lifestyle/)[KEMBARA](https://suara.tv/category/lifestyle/travel/)
# Mendaki Bukit Batu Kumbang
[](https://suara.tv/author/fendi90/ "Fendi Ghafar")
By [Fendi Ghafar](https://suara.tv/author/fendi90/)
03/06/2021
[](https://i0.wp.com/suara.tv/wp-content/uploads/2021/06/langgar5_1622674826.jpg?fit=1200%2C899&ssl=1)
Pada 27 Mac lalu, kumpulan Siput Trackerzs Adventure Club yang diasaskan penulis menganjurkan satu ekspedisi pendakian santai ke Bukit Batu Kumbang, Selangor.
Dalam ekspedisi santai ini, seramai 30 peserta termasuk lima kru mengambil bahagian.
Ekspedisi diketuai penunjuk arah/malim gunung, Asri Ahmad dengan bantuan ‘sweeper’, Muhammad Syamil dan dua pembantu penunjuk arah iaitu Muhammad Nur Azhani dan Muna Mohd.
Penulis sendiri yang sering bersama ‘sweeper’ membantu memantau peserta di barisan belakang dan ‘menutup pagar.’
Istilah menutup pagar merujuk kepada memastikan ‘sweeper’ adalah orang terakhir dan tiada peserta ditinggalkan di belakang.
Bukit Batu Kumbang yang terletak di Hutan Simpan Hulu Langat memiliki ketinggian 675 meter juga boleh didaki dari Sungai Congkak, Hulu Langat.
Biarpun berstatus bukit, ia agak mencabar fizikal dan mental kepada pendaki baharu kerana jarak keseluruhannya dari parkir ke puncak adalah 10 kilometer (km) yang mengambil masa tiga hingga lima jam bergantung kepada pergerakan peserta.
Memandangkan penulis pernah mendaki dari Hulu Langat, untuk ekspedisi kali ini kami memilih untuk naik dari sebelah Kemensah.

PESERTA memulakan perjalanan.
Perlu diingat, sebelum mendaki bukit ini, anda perlu mendapatkan kebenaran atau permit pendakian dari Pejabat Hutan Selangor Tengah Cheras yang boleh dimohon dua minggu lebih awal.
Pendakian bermula dari parkir kereta di Kombat Zone Paintball, Kemensah jam 8 pagi selepas taklimat pendakian, senaman ringan dan bacaan doa.
Di awal pendakian, peserta perlu melalui jalan tar dan terus memasuki jalan kenderaan serba rupa bumi (ATV) sejauh empat km sebelum memasuki trek hutan.
Trek yang dilalui kenderaan ATV memang tidak rata dan tidak terlalu curam, tapi tetap terasa ‘pacak-pacak’ manjanya.
Selepas memasuki trek hutan, kami menuju Air Terjun Batu Hampar dengan melalui sebatang pokok tumbang. Di sini peserta perlu berhati-hati untuk melepasi batang dan dahan pokok yang tumbang merintangi trek.

SEMPAT menyejukkan badan di Air Terjun Neelofa.
Dari Air Terjun Batu Hampar, bermulalah cabaran trek memacak. Mujur ada tempat dipasang tali yang sangat membantu dalam pendakian namun penunjuk arah dan kru tetap memastikan peserta sentiasa dalam keadaan selamat.
Trek seterusnya walaupun tidak ‘sepacak’ trek dari Batu Hampar, tapi menaik sehingga sampai ke puncak Bukit Batu Kumbang sejauh tiga km.
Peserta pertama tiba di puncak Batu Kumbang jam 1 tengah hari sebelum disusuli peserta lain.
Oleh kerana puncak Bukit Batu Kumbang agak sempit dan berbatu, peserta perlu bergilir-gilir untuk naik ke puncak.

TREK ATV yang perlu dilalui peserta.
Pemandangan di puncak Bukit Batu Kumbang adalah bergantung kepada cuaca. Sekiranya cuaca baik anda berpeluang melihat puncak Bukit Chenuang di Hulu Langat.
Untuk kali ini, kami dihidangkan pemandangan yang sangat cantik di puncak Bukit Batu Kumbang.
Peserta tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan dengan bergambar selepas mengharungi cabaran mendaki untuk sampai ke sini.
Kebiasaannya, pendaki akan melakukan pendakian ke dua puncak iaitu Bukit Batu Kumbang dan Bukit Chenuang (sejam ke sejam setengah pendakian dari Batu Kumbang), namun untuk kali ini penganjur terus turun ke air terjun di Kemensah.

Daripada 30 peserta, 26 pergi ke Air Terjun Maya Karin dan Air Terjun Neelofa manakala penulis bersama ‘sweeper’ menemani dua peserta yang mengalami keletihan dan kejang kaki.
Dalam perjalanan pulang, kami diuji dengan hujan lebat menyebabkan air mengalir di trek ATV. Kami perlu berhati-hati untuk elak terjatuh.
Pada masa sama, kami perlu melompat ke bahu trek untuk memberi laluan kepada ATV yang turut melalui laluan itu.
Semua peserta berjaya keluar dan tiba di parkir jam 5.30 petang tanpa sebarang kecederaan atau insiden buruk.

PEMANDANGAN indah di Air Terjun Maya Karin.
Harian Metro

Fendi Ghafar Editor
[\[email protected\]](https://suara.tv/cdn-cgi/l/email-protection)
[See Full Bio](https://suara.tv/author/fendi90/)
[](https://www.instagram.com/fendi_ghafar/) [](https://www.tiktok.com/@fendi.ghafar)
[0](https://suara.tv/03/06/2021/mendaki-bukit-batu-kumbang/#respond)
380
Share
[Facebook](https://www.facebook.com/sharer.php?u=https%3A%2F%2Fsuara.tv%2F03%2F06%2F2021%2Fmendaki-bukit-batu-kumbang%2F "Facebook")
[Twitter](https://twitter.com/intent/tweet?text=Mendaki+Bukit+Batu+Kumbang&url=https%3A%2F%2Fsuara.tv%2F03%2F06%2F2021%2Fmendaki-bukit-batu-kumbang%2F&via=Suara.TV "Twitter")
[Pinterest](https://pinterest.com/pin/create/button/?url=https://suara.tv/03/06/2021/mendaki-bukit-batu-kumbang/&media=https://suara.tv/wp-content/uploads/2021/06/langgar5_1622674826.jpg&description=Mendaki+Bukit+Batu+Kumbang "Pinterest")
[WhatsApp](https://api.whatsapp.com/send?text=Mendaki+Bukit+Batu+Kumbang%20%0A%0A%20https://suara.tv/03/06/2021/mendaki-bukit-batu-kumbang/ "WhatsApp")
[Telegram](https://telegram.me/share/url?url=https://suara.tv/03/06/2021/mendaki-bukit-batu-kumbang/&text=Mendaki+Bukit+Batu+Kumbang "Telegram")
Previous article
[Elak desktop jadi bom jangka](https://suara.tv/03/06/2021/elak-desktop-jadi-bom-jangka/)
Next article
[Taylor Swift berlakon dengan bintang popular Hollywood](https://suara.tv/03/06/2021/taylor-swift-berlakon-dengan-bintang-popular-hollywood/)
\-- Iklan --
\-- Iklan --
#### Related Articles
[GAYA HIDUP](https://suara.tv/category/lifestyle/)
### [HONOR 600 Pro perkenal AI Image to Video 2.0, revolusi baru dalam dunia pengimejan mudah alih](https://suara.tv/16/04/2026/honor-600-pro-perkenal-ai-image-to-video-2-0-revolusi-baru-dalam-dunia-pengimejan-mudah-alih/ "HONOR 600 Pro perkenal AI Image to Video 2.0, revolusi baru dalam dunia pengimejan mudah alih")
[BERITA](https://suara.tv/category/news/berita/)
### [Seorang didakwa, lima dikompaun sebar berita palsu krisis tenaga global](https://suara.tv/16/04/2026/seorang-didakwa-lima-dikompaun-sebar-berita-palsu-krisis-tenaga-global/ "Seorang didakwa, lima dikompaun sebar berita palsu krisis tenaga global")
[BERITA](https://suara.tv/category/news/berita/)
### [Kedah akan keluar arahan kawal perbelanjaan negeri hadapi krisis tenaga global – Sanusi](https://suara.tv/16/04/2026/kedah-akan-keluar-arahan-kawal-perbelanjaan-negeri-hadapi-krisis-tenaga-global-sanusi/ "Kedah akan keluar arahan kawal perbelanjaan negeri hadapi krisis tenaga global – Sanusi")
#### Stay Connected
474,121Fans[Like](https://www.facebook.com/tv.suara)
25,100Followers[Follow](https://instagram.com/suaratv_official)
230,282Followers[Follow](https://www.tiktok.com/@hqsuaratv)
27,197Followers[Follow](https://twitter.com/SuaradotTV)
15,189Subscribers[Subscribe](https://www.youtube.com/channel/UCmGioNuLj3-Aa8GeFXh6DEg)
#### Topik Hangat
[BERITA LUAR](https://suara.tv/category/world/berita-luar/)
### [Netanyahu lantik Ketua Mossad baharu, pegawai tentera tiada latar belakang perisikan](https://suara.tv/13/04/2026/netanyahu-lantik-ketua-mossad-baharu-pegawai-tentera-tiada-latar-belakang-perisikan/ "Netanyahu lantik Ketua Mossad baharu, pegawai tentera tiada latar belakang perisikan")
[BERITA](https://suara.tv/category/news/berita/)
### [Diesel ke Filipina bukan minyak dari perut bumi Malaysia hanya berlepas dari perairan kita – Fahmi](https://suara.tv/16/04/2026/diesel-ke-filipina-bukan-minyak-dari-perut-bumi-malaysia-hanya-berlepas-dari-perairan-kita-fahmi/ "Diesel ke Filipina bukan minyak dari perut bumi Malaysia hanya berlepas dari perairan kita – Fahmi")
[BERITA LUAR](https://suara.tv/category/world/berita-luar/)
### [Pakistan hantar jet pejuang ke Arab Saudi bawah pakatan pertahanan strategik](https://suara.tv/12/04/2026/pakistan-hantar-jet-pejuang-ke-arab-saudi-bawah-pakatan-pertahanan-strategik/ "Pakistan hantar jet pejuang ke Arab Saudi bawah pakatan pertahanan strategik")
[BERITA](https://suara.tv/category/news/berita/)
### [UPNM tegaskan IPT bukan ‘lubuk rasuah’, integriti teras pembentukan graduan](https://suara.tv/13/04/2026/upnm-tegaskan-ipt-bukan-lubuk-rasuah-integriti-teras-pembentukan-graduan/ "UPNM tegaskan IPT bukan ‘lubuk rasuah’, integriti teras pembentukan graduan")
[BERITA](https://suara.tv/category/news/berita/)
### [Percepatkan pengeluaran tenaga solar, keterjaminan makanan sistematik boleh ‘selamatkan’ Malaysia – Prof Jomo](https://suara.tv/16/04/2026/percepatkan-pengeluaran-tenaga-solar-keterjaminan-makanan-sistematik-boleh-selamatkan-malaysia-prof-jomo/ "Percepatkan pengeluaran tenaga solar, keterjaminan makanan sistematik boleh ‘selamatkan’ Malaysia – Prof Jomo")
[Load more](https://suara.tv/03/06/2021/mendaki-bukit-batu-kumbang/)
#### TERKINI
### [Amazfit Active Max untuk atlet harian – Latihan lebih bijak bermula di pergelangan tangan](https://suara.tv/09/01/2026/amazfit-active-max-untuk-atlet-harian-latihan-lebih-bijak-bermula-di-pergelangan-tangan/ "Amazfit Active Max untuk atlet harian – Latihan lebih bijak bermula di pergelangan tangan")
09/01/2026
### [Israel Tahan 4 Kapal Flotila Global Sumud, Greta Thunberg dan 12 Rakyat Malaysia Didakwa Dalam Tahanan](https://suara.tv/02/10/2025/israel-tahan-4-buah-kapal-flotila-global-sumud-greta-thunberg-dan-4-orang-rakyat-malaysia-dalam-tahanan/ "Israel Tahan 4 Kapal Flotila Global Sumud, Greta Thunberg dan 12 Rakyat Malaysia Didakwa Dalam Tahanan")
02/10/2025
### [Pesawat TUDM Terbabit Kemalangan, belum ada pengumuman rasmi mengenai mangsa](https://suara.tv/21/08/2025/pesawat-tudm-terbabit-kemalangan-belum-ada-pengumuman-rasmi-mengenai-mangsa/ "Pesawat TUDM Terbabit Kemalangan, belum ada pengumuman rasmi mengenai mangsa")
21/08/2025
#### POPULAR
### [Jangan lepas ikan sakit, DOF perketat kawalan elak virus KHV](https://suara.tv/12/04/2026/jangan-lepas-ikan-sakit-dof-perketat-kawalan-elak-virus-khv/ "Jangan lepas ikan sakit, DOF perketat kawalan elak virus KHV")
12/04/2026
### [Kerajaan perkenal insentif RM3.5 juta sokongan pensijilan MSPO bagi peniaga buah kelapa sawit – Noraini](https://suara.tv/13/04/2026/kerajaan-perkenal-insentif-rm3-5-juta-sokongan-pensijilan-mspo-bagi-peniaga-buah-kelapa-sawit-noraini/ "Kerajaan perkenal insentif RM3.5 juta sokongan pensijilan MSPO bagi peniaga buah kelapa sawit – Noraini")
13/04/2026
### [Trump sahkan perang hampir tamat](https://suara.tv/15/04/2026/trump-sahkan-perang-tamat/ "Trump sahkan perang hampir tamat")
15/04/2026
#### KATEGORI POPULAR
- [UTAMA26796](https://suara.tv/category/topstory/)
- [NASIONAL21432](https://suara.tv/category/news/)
- [BERITA20007](https://suara.tv/category/news/berita/)
- [POLITIK7521](https://suara.tv/category/news/politik/)
- [Terkini7035](https://suara.tv/category/terkini/)
- [GAYA HIDUP6129](https://suara.tv/category/lifestyle/)
- [HIBURAN4816](https://suara.tv/category/lifestyle/artist/)
- [BERITA LUAR1482](https://suara.tv/category/world/berita-luar/)
[](https://suara.tv/)
### Suara.TV
Suara Tanpa Sempadan
### IKUTI SUARA.TV
[Facebook](https://www.facebook.com/SuaraTV "Facebook")
[Instagram](https://www.instagram.com/suara.tv/?hl=en "Instagram")
[Telegram](https://t.me/joinchat/AAAAAFldy3g5NmxiF_zIOA "Telegram")
[Twitter](https://twitter.com/suara_tv "Twitter")
[Youtube](https://www.youtube.com/channel/UCmGioNuLj3-Aa8GeFXh6DEg "Youtube") |
| Readable Markdown | Pada 27 Mac lalu, kumpulan Siput Trackerzs Adventure Club yang diasaskan penulis menganjurkan satu ekspedisi pendakian santai ke Bukit Batu Kumbang, Selangor.
Dalam ekspedisi santai ini, seramai 30 peserta termasuk lima kru mengambil bahagian.
Ekspedisi diketuai penunjuk arah/malim gunung, Asri Ahmad dengan bantuan ‘sweeper’, Muhammad Syamil dan dua pembantu penunjuk arah iaitu Muhammad Nur Azhani dan Muna Mohd.
Penulis sendiri yang sering bersama ‘sweeper’ membantu memantau peserta di barisan belakang dan ‘menutup pagar.’
Istilah menutup pagar merujuk kepada memastikan ‘sweeper’ adalah orang terakhir dan tiada peserta ditinggalkan di belakang.
Bukit Batu Kumbang yang terletak di Hutan Simpan Hulu Langat memiliki ketinggian 675 meter juga boleh didaki dari Sungai Congkak, Hulu Langat.
Biarpun berstatus bukit, ia agak mencabar fizikal dan mental kepada pendaki baharu kerana jarak keseluruhannya dari parkir ke puncak adalah 10 kilometer (km) yang mengambil masa tiga hingga lima jam bergantung kepada pergerakan peserta.
Memandangkan penulis pernah mendaki dari Hulu Langat, untuk ekspedisi kali ini kami memilih untuk naik dari sebelah Kemensah.

PESERTA memulakan perjalanan.
Perlu diingat, sebelum mendaki bukit ini, anda perlu mendapatkan kebenaran atau permit pendakian dari Pejabat Hutan Selangor Tengah Cheras yang boleh dimohon dua minggu lebih awal.
Pendakian bermula dari parkir kereta di Kombat Zone Paintball, Kemensah jam 8 pagi selepas taklimat pendakian, senaman ringan dan bacaan doa.
Di awal pendakian, peserta perlu melalui jalan tar dan terus memasuki jalan kenderaan serba rupa bumi (ATV) sejauh empat km sebelum memasuki trek hutan.
Trek yang dilalui kenderaan ATV memang tidak rata dan tidak terlalu curam, tapi tetap terasa ‘pacak-pacak’ manjanya.
Selepas memasuki trek hutan, kami menuju Air Terjun Batu Hampar dengan melalui sebatang pokok tumbang. Di sini peserta perlu berhati-hati untuk melepasi batang dan dahan pokok yang tumbang merintangi trek.

SEMPAT menyejukkan badan di Air Terjun Neelofa.
Dari Air Terjun Batu Hampar, bermulalah cabaran trek memacak. Mujur ada tempat dipasang tali yang sangat membantu dalam pendakian namun penunjuk arah dan kru tetap memastikan peserta sentiasa dalam keadaan selamat.
Trek seterusnya walaupun tidak ‘sepacak’ trek dari Batu Hampar, tapi menaik sehingga sampai ke puncak Bukit Batu Kumbang sejauh tiga km.
Peserta pertama tiba di puncak Batu Kumbang jam 1 tengah hari sebelum disusuli peserta lain.
Oleh kerana puncak Bukit Batu Kumbang agak sempit dan berbatu, peserta perlu bergilir-gilir untuk naik ke puncak.

TREK ATV yang perlu dilalui peserta.
Pemandangan di puncak Bukit Batu Kumbang adalah bergantung kepada cuaca. Sekiranya cuaca baik anda berpeluang melihat puncak Bukit Chenuang di Hulu Langat.
Untuk kali ini, kami dihidangkan pemandangan yang sangat cantik di puncak Bukit Batu Kumbang.
Peserta tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan dengan bergambar selepas mengharungi cabaran mendaki untuk sampai ke sini.
Kebiasaannya, pendaki akan melakukan pendakian ke dua puncak iaitu Bukit Batu Kumbang dan Bukit Chenuang (sejam ke sejam setengah pendakian dari Batu Kumbang), namun untuk kali ini penganjur terus turun ke air terjun di Kemensah.

Daripada 30 peserta, 26 pergi ke Air Terjun Maya Karin dan Air Terjun Neelofa manakala penulis bersama ‘sweeper’ menemani dua peserta yang mengalami keletihan dan kejang kaki.
Dalam perjalanan pulang, kami diuji dengan hujan lebat menyebabkan air mengalir di trek ATV. Kami perlu berhati-hati untuk elak terjatuh.
Pada masa sama, kami perlu melompat ke bahu trek untuk memberi laluan kepada ATV yang turut melalui laluan itu.
Semua peserta berjaya keluar dan tiba di parkir jam 5.30 petang tanpa sebarang kecederaan atau insiden buruk.

PEMANDANGAN indah di Air Terjun Maya Karin.
Harian Metro
 |
| Shard | 89 (laksa) |
| Root Hash | 9733202425097885089 |
| Unparsed URL | tv,suara!/03/06/2021/mendaki-bukit-batu-kumbang/ s443 |